Search

JBPM periksa sistem keselamatan kebakaran bangunan ikonik Menara Tun Mustapha

September 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sistem keselamatan kebakaran Menara Tun Mustapha diberi perhatian menerusi kerja pembaikan dan penaiktarafan bagi memastikan bangunan ikonik berkenaan selamat digunakan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Pisar Aziz bersama pegawai kanan jabatan itu melakukan pemeriksaan dan tinjauan di bangunan berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menunjukkan perkembangan sangat positif apabila kerja pembaikan dan penaiktarafan sistem keselamatan kebakaran dilaksanakan dengan baik serta mengikut perancangan.

Katanya, pemeriksaan memberi tumpuan kepada aspek teknikal, keadaan sistem keselamatan kebakaran serta status dan kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan.

“Langkah penambahbaikan turut dinilai bagi memastikan sistem keselamatan kebakaran bangunan ini sentiasa berada pada tahap ditetapkan.

“Kerjasama berterusan antara JBPM, pihak pengurusan bangunan, pemilik premis dan semua pihak berkepentingan amat penting supaya kerja pembaikan serta pematuhan keselamatan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, aspek keselamatan kebakaran perlu sentiasa diberi keutamaan, terutama membabitkan bangunan yang mempunyai kepentingan kepada orang ramai demi melindungi nyawa dan harta benda.

Terdahulu, rombongan menghadiri taklimat bersama pihak pengurusan di Menara Innoprise sebelum meneruskan pemeriksaan di Menara Tun Mustapha.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengerusi Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya. – Info X