TAWAU : Lebih 50 hilang tempat tinggal selepas 12 rumah di Kampung Jawa, Jalan Guru, di sini, musnah dalam kebakaran, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, anggaran keluasan kawasan yang terbakar ialah seluas kira-kira satu hektar membabitkan 12 rumah jenis tidak kekal.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikerah ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 12.38 tengah hari.
Ketua BBP Tawau, Jemishin Ujin berkata, seramai 20 anggota dan pegawai bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba Komuniti Kampung Titingan.
“Sebaik tiba, beberapa buah rumah sudah musnah tebakar dan usaha memadam terus dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 1.56 tengah hari dan operasi memadam bara api dijalankan bagi memastikan lokasi kebakaran selamat.
“Kebakaran hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Jemishin berkata, pasukan bomba akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa. – Info X