TAWAU: Tiga lelaki berusia antara 17 hingga 38 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM20,000 di Kampung Tanjung Batu Tengah, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, semua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam operasi di Lorong Jurangan Rosli, Jalan Tanjung Batu.
“Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah.
“Pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek adalah warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu membabitkan sebuah rumah yang kehilangan dua komputer riba, televisyen, dekoder Astro, jam tangan, barangan bayi, kasut, beg tangan, emas tiruan dan tiga kipas berdiri.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan pintu serta tingkap dikunci sebelum meninggalkan rumah dan memaklumkan kepada jiran dipercayai jika kediaman ditinggalkan dalam tempoh lama.
“Sebarang kejadian atau aktiviti mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” katanya. – Info X