KOTA KINABALU: Seramai 272 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan melalui laut bagi tahun ini.
Semua tahanan dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu sebelum menaiki feri komersial ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, pemindahan itu membabitkan 166 lelaki dewasa, 63 wanita dewasa, 17 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, mereka berusia antara enam bulan hingga 68 tahun, manakala semua kanak-kanak diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
“Semua tahanan selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan mempunyai dokumen perjalanan sah untuk melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” menurut kenyataan itu.
Pada 15 September lalu, tiga tahanan warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dari Depot Imigresen Papar turut dipindahkan menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Manila.

Setakat ini, seramai 5,233 tahanan PATI dipindahkan ke negara asal, termasuk 3,455 warga Filipina, Indonesia (1,488), China (127), Pakistan (120) dan Vietnam (21), manakala 22 lagi membabitkan warga negara lain.

JIM Sabah menyeru masyarakat supaya tidak melindungi atau menggaji PATI serta melaporkan sebarang kegiatan berkaitan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO). – Info X