KOTA KINABALU: Sembilan pegawai dan anggota polis narkotik dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menerima rasuah dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, pada Jumaat.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah berkenaan memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh berdasarkan bukti dan keterangan saksi pendakwaan sendiri.
Tertuduh terbabit ialah Joevian Gubal Michael, Azizul Ismail, Hairul Amid, Afizul Azwan Anuar, Abdullah Bakir, Bobby Rhyne Warry Nawari, Haikal Ibrahim Abdullah, Sabestino Bong dan Jameswell anak Lakin.
Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, membacakan keputusan itu selepas mendengar keterangan 24 saksi pendakwaan dalam perbicaraan bersama yang bermula pada 14 Ogos 2023, sebelum pihak pendakwaan menutup kesnya pada 24 Julai 2025.
Dalam penghakimannya, Jason menyatakan setelah penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan dan bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati terdapat keraguan pada keterangan itu.
Katanya, ia menyebabkan pertuduhan tidak terbukti dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh.
“Berdasarkan kekuatan keterangan pendakwaan, mahkamah tidak bersedia untuk mensabitkan tertuduh sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri jika pembelaan dipanggil,” katanya.
Berikutan itu, mahkamah melepas dan membebaskan semua sembilan tertuduh tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dan pasport semua tertuduh yang diserahkan kepada mahkamah sebelum ini dikembalikan.
Semua tertuduh sebelum ini didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang daripada seorang saksi melalui deposit yang dibuat isterinya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap saksi terbabit di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK).
Namun, dalam keterangannya di mahkamah, saksi berkenaan berulang kali menyatakan wang itu adalah miliknya sendiri hasil jualan dadah, yang menurut hujahan pembelaan terpesong daripada teori rasuah dalam pertuduhan berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Nur Izzati Safiee, namun ketika keputusan dibacakan pada Jumaat, pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan.
Sementara itu, peguam Mohd Azhier Farhan Arisin dari Tetuan Azhier, Arisin & Jaafar mewakili tertuduh ketiga, keempat, kelima, ketujuh dan kesembilan.
Peguam Sylvester Kuan pula mewakili tertuduh pertama dan kedua; Batholomeo Jingulam bersama Edward Paul mewakili tertuduh keenam, manakala Luke Ressa Balang mewakili tertuduh kelapan. – Info X