Search

Ular sawa 50 kilogram jadi ‘tetamu’ di beranda rumah

September 18, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Sebuah keluarga di Kampung Lembising, di sini, dikejutkan dengan kemunculan ‘tetamu tidak diundang’ apabila seekor ular sawa seberat kira-kira 50 kilogram ditemukan di luar beranda rumah mereka, petang tadi.

Kehadiran reptilia sepanjang kira-kira 4.3 meter itu memaksa penghuni mendapatkan bantuan bomba sebelum ia berjaya ditangkap menggunakan penjerut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.20 petang sebelum lima anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi.

Katanya, pasukan tiba 10 minit kemudian dan menemukan ular sawa berkenaan berada di luar beranda rumah pemanggil.

“Anggota bertindak menangkap ular itu menggunakan penjerut dan operasi berjaya dikawal pada jam 6.33 petang.

“Tiada mangsa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya tiga minit kemudian,” katanya ketika dihubungi.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Norazrin Suhairi. – Info X