Search

Viva hitam ingkar arahan berhenti, lima notis dikeluarkan

September 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lima notis dikeluarkan terhadap sebuah Perodua Viva hitam selepas pemandunya didakwa ingkar arahan berhenti ketika cuba diperiksa anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Tuaran, hari ini.

Kesalahan dikesan membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), gagal berhenti serta memandu secara melulu dan membahayakan.

JPJ Sabah menerusi kenyataan di Facebook rasminya berkata, notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut dikeluarkan bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kenderaan itu dikesan lagi, tindakan penyitaan akan dilakukan selain tindakan diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan,” menurut kenyataan itu.

JPJ memberi amaran keras supaya pengguna tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat menguji keberanian dengan melakukan pemanduan agresif atau melulu sehingga membahayakan nyawa orang lain.

“Satu tindakan pemanduan tidak bertanggungjawab boleh mengakibatkan kemalangan, kecederaan malah kehilangan nyawa.

“Jangan memandu secara melulu, mempertaruhkan nyawa pengguna lain atau menganggap kesalahan lalu lintas sebagai perkara kecil,” katanya.

Sementara itu, JPJ turut mengingatkan pengguna supaya memastikan LKM, perlindungan insurans dan lesen memandu masih berkuat kuasa sebelum memulakan perjalanan.

Terdahulu, berdasarkan video tular, Perodua Viva hitam berkenaan didakwa melarikan diri ketika cuba diperiksa anggota JPJ. – Info X