PENAMPANG: Seorang penoreh getah menahan kesakitan akibat patah kaki kiri selepas terjatuh ke dalam gaung ketika melakukan kerja menoreh getah di Kampung Moyong, Jalan Tambunan, di sini, hari ini.
Mangsa, Lazaruz Duni, 42, ditemukan penduduk kampung di kawasan gaung kira-kira 700 meter dari jalan utama sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.48 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan mendapati mangsa terjatuh ke dalam gaung ketika menjalankan kerja menoreh getah.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba lebih awal memberikan rawatan awal dan mendapati mangsa mengalami kecederaan patah kaki kiri.
“Anggota bomba kemudian menggunakan pengusung menerusi sistem ‘hauling’ untuk membawa mangsa keluar dari gaung secara terkawal,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 1 tengah hari sebelum diserahkan kepada KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saiful Matlan tamat pada jam 1.09 petang selepas pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi bahaya di lokasi.
Terdahulu, operasi membabitkan enam anggota BBP Penampang dengan jarak perjalanan kira-kira 24 kilometer dari balai ke lokasi kejadian. – Info X