KOTA KINABALU: Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memulakan perbincangan mengenai cadangan menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
Pertemuan di Putrajaya pada Selasa itu diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Dalam kenyataannya, Mustapha berkata perbincangan dengan SPR menumpukan proses dan pertimbangan perlembagaan, perundangan serta teknikal berkaitan penambahan kerusi Parlimen.

Perbincangan itu, katanya termasuk aspek persempadanan bahagian pilihan raya, data yang diperlukan dan bentuk libat urus antara kerajaan, SPR serta pihak berkepentingan.
“Saya telah mengetuai BHESS bagi mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun hari ini bagi membincangkan hala tuju dan mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
“Pertemuan ini susulan perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk Mesyuarat Majlis Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu yang mengambil maklum bahawa perkara ini sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Perdana Menteri turut menyatakan terdapat kewajaran untuk meningkatkan kadar nisbah Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada perbincangan lanjut bersama SPR,” katanya.
Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
Mustapha berkata, cadangan yang dikemukakan ialah untuk menjadikan keseluruhan jumlah kerusi Parlimen di kedua negeri kepada 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen di seluruh negara.
Jelasnya, pelaksanaan perkara itu bukan semata-mata soal menambah kerusi, sebaliknya berkaitan usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63.
“BHESS akan terus bekerjasama dengan SPR supaya sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghormati bidang kuasa SPR,” katanya. – Info X