KOTA KINABALU: Seorang ustaz kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid membuat keputusan itu terhadap Muhammad Faridzuan Mohamad Yunus selepas mendengar rayuan tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 12 tahun itu berkuat kuasa mulai hari ini, 22 September 2026, selain mengekalkan hukuman dua sebatan.
Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap Muhammad Faridzuan selepas dia didapati bersalah dalam perbicaraan penuh.
Muhammad Faridzuan didapati salah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa di sebuah apartmen di Penampang, kira-kira jam 12 tengah hari pada 21 Februari 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah ketika itu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan tertuduh di Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dana A Wazani, manakala tertuduh diwakili peguam Pg Amli Noraufe Pg Nohin. – Info X