KOTA MARUDU: Seorang pesara polis maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton di simpang masuk Kampung Paya, Jalan Langkon – Pitas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Khir Ahmad, 63, yang memandu Proton Wira disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton berkenaan dalam perjalanan dari Kampung Bangkau – Bangkau, Pitas menuju ke Kudat ketika hujan.
Katanya, Proton Wira dipandu mangsa pula datang dari arah bertentangan iaitu Pekan Kota Marudu sebelum membelok ke kanan untuk memasuki simpang Kampung Paya.

“Ketika membelok, kereta berkenaan bertembung dengan bahagian hadapan tepi Mitsubishi Triton yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Triton tidak mengalami kecederaan, manakala lima penumpangnya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Marudu pada jam 2 petang.
Katanya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Marudu untuk proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X