KOTA KINABALU: Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (Kreatif Sabah) mengajak pengkarya seni, khususnya pencipta lagu di negeri ini untuk menyertai Pertandingan Mencipta Lagu OST(Original Soundtrack) 2026 anjuran pertubuhan itu.
Timbalan Pengerusi Kreatif Sabah, Guadik Ansiw selaku Pengarah Projek pertandingan berkenaan, berkata pertandingan yang bermula pada 1 September lalu itu dan sepatutnya ditutup pada 21 September, dilanjutkan hingga sebelum jam 2 petang, 27 September ini.
Katanya, lanjutan masa itu berikutan permintaan ramai yang memohon ruang dipanjangkan sedikit bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengkarya kreatif di negeri ini mempamerkan bakat menerusi lagu ciptaan masing-masing.
“Penyertaan pertandingan bermula sejak 1 September 2026 dan tarikh tutup pada 21 September 2026. Bagaimanapun, atas permintaan ramai, tempoh masa dipanjangkan sedikit untuk memberi ruang masa kepada pengkarya mengikuti pertandingan ini.
“Maka, pihak penganjur bersetuju untuk melanjutkan tempoh untuk menyertai pertandingan ini selama seminggu lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai hingga RM4,000 bagi juara, selain piala dan sijil itu katanya bertujuan memberi peluang kepada pencipta lagu tempatan menghasilkan karya asli.
Beliau berkata, penganjurannya juga bagi menggalakkan penghasilan karya muzik yang berkualiti dan mempunyai nilai komersial.
“Selain itu, ia juga adalah antara inisiatif bagi memartabatkan identiti, budaya dan kreativiti Sabah melalui muzik, selain untuk membina jaringan antara pencipta lagu, penyanyi, pemuzik dan penggiat industri kreatif khususnya pembikin filem dan drama.
“Pertandingan ini turut memberikan pendedahan kepada peserta berkaitan proses penghasilan karya OST dan membuka peluang kepada karya tempatan untuk diketengahkan dalam produksi filem, drama, dokumentari dan kandungan digital,” katanya.
Katanya, pengkarya akan melalui tiga peringkat pertandingan bermula dengan penjurian secara dalam talian untuk mencari 30 lagu terbaik bagi peringkat pertama.
Selepas itu, katanya peringkat kedua atau separuh akhir bakal menyaksikan 30 peserta yang terpilih akan membuat persembahan dan dinilai bagi mencari 10 lagu terbaik.
“Persembahan itu nanti akan diadakan di Pentas Utama Kompleks Karamunsing pada 4 Oktober depan.
“Setelah itu, peringkat ketiga atau final akan diadakan pada Disember depan dan kita akan memaklumkan tarikh serta tempat pertandingan akhir itu kemudian,” katanya.
Selain hadiah utama RM4,000, piala dan sijil kepada juara, penganjur turut menawarkan hadiah RM2,000 berserta piala dan sijil kepada pemenang naib juara serta RM1,000 berserta piala dan sijil bagi pemenang tempat ketiga.
Tidak ketinggalan, katanya penganjur turut menyediakan hadiah saguhati RM500 berserta piala dan sijil kepada pencipta lagu yang menduduki tempat keempat hingga ke-10.
Guadik berkata, penganjur juga menyediakan Anugerah Khas yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000, masing-masing bagi vokal terbaik, persembahan terbaik dan lagu OST paling popular.
Satu lagi kategori, katanya iaitu Anugerah Video Muzik Terbaik turut disediakan dengan ganjaran wang tunai sebanyak RM2,000.
“Selain hadiah yang agak lumayan, lagu-lagu yang bertanding di final nanti akan sama-sama disaksikan dan didengari oleh penerbit serta pengusaha filem.
“Sekiranya mereka berminat dengan mana-mana lagu yang dipertandingkan pada malam itu, mereka boleh terus berurusan dengan komposer dan pemilik lagu tersebut.
“Kreatif Sabah hanya menyediakan platform dan peluang kepada pengiat seni, khususnya yang berkecimpung dalam bidang muzik kerana muzik dan filem tidak pernah dipisahkan,” katanya.
Berikutan itu, beliau mengalu-alukan pengkarya dan pencipta lagu dalam apa sahaja bahasa atau sesiapa yang berminat untuk menyertai pertandingan itu yang boleh diikuti melalui laman Facebook Kreatif Sabah. – Info X