LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Puyut, di sini, hari ini.
Mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak dikenali penduduk setempat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 12.47 tengah hari.
Katanya, seramai 12 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi sebelum tiba lapan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki lingkungan 30-an dipercayai terkena renjatan elektrik dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Operasi mengeluarkan mangsa hanya dilakukan selepas pihak Sabah Electricity memotong bekalan elektrik bagi memastikan kawasan berkenaan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sumsoa berkata, anggota bomba kemudian menggunakan pengusung dan tali untuk membawa mangsa ke kawasan selamat.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.36 tengah hari selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X