LAHAD DATU: Seorang lelaki melecur manakala rumah disewanya hampir musnah dalam kebakaran di Jalan Hilir 2, Kampung Tabanak, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 40 tahun itu dibawa orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas rumah berkeluasan kira-kira 111 meter persegi berkenaan terbakar 90 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 10.32 pagi.
Katanya, seramai 12 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi sebelum tiba enam minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang sudah terbakar kira-kira 90 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 244 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sumsoa berkata, dokumen pengenalan diri mangsa turut musnah dalam kebakaran berkenaan.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.09 tengah hari sebelum pasukan menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
“Operasi ditamatkan selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan tiada bahaya lain,” katanya. – Info X