KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, di sini, menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menjatuhkan hukuman itu, semalam, terhadap Nul Sadam Jemsi selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu bermula 23 Februari 2022.
Mengikut pertuduhan, Nul Sadam didakwa membunuh Nasfidah Japarah, 25, di sebuah bilik sewa di tingkat tiga, Lot 7, Blok J, Segama, di sini.
Kesalahan itu dilakukan antara jam 10 malam hingga 11.45 malam pada 22 Mac 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat 222 kecederaan pada tubuhnya, termasuk kecederaan serius di bahagian leher sehingga kepala mangsa hampir terputus.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dana A Wazani, manakala tertuduh diwakili peguam Jamadi Saleh.-Info X