Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
JAKARTA: Kapten Harimau Malaya Dion Cools berharap Malaysia mampu melakar pencapaian bermakna buat negara pada edisi sulung Piala ASEAN FIFA 2026.
Beliau berkata skuad kebangsaan teruja untuk beraksi pada kejohanan serantau itu yang menghimpunkan barisan pemain terbaik daripada negara bertanding.
“Sudah tentu, beraksi dalam kejohanan serantau sentiasa istimewa. Saya rasa bagi sesebuah kejohanan, kita sememangnya mahu semua pasukan dapat menampilkan barisan terbaik, jadi saya fikir FIFA telah melakukan tugas yang baik dalam menganjurkan kejohanan ini.
“Saya juga perlu katakan semuanya diuruskan dengan sangat baik. Malam ini kami akan menjalani sesi latihan terakhir, jadi saya tidak sabar untuk menghadapi kejohanan ini dan berharap kami mampu mencapai sesuatu yang membanggakan negara, Malaysia,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini hari ini.
Malaysia yang beraksi dalam Divisyen 1 akan membuka kempen Kumpulan A menentang Bangladesh di sini esok, sebelum berdepan tuan rumah Indonesia di venue sama Isnin depan.
Harimau Malaya kemudian akan menutup saingan peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt.
Sementara itu,Cools berkata persiapan pasukan kini berjalan lancar menjelang aksi pembukaan esok, meskipun skuad negara berdepan tempoh singkat.
“Persiapan berjalan dengan baik. Kami mempunyai tempoh yang singkat, jadi hanya sempat menjalani beberapa sesi latihan, tetapi pasukan sudah bersedia dan semua pemain berada dalam keadaan cergas. Jadi, kami bersedia untuk perlawanan esok,” kata pemain Cerezo Osaka berusia 30 tahun itu.
Cools yang belum pernah beraksi di Stadium Gelora Bung Karno turut teruja menantikan pengalaman pertamanya bermain di gelanggang ikonik berkenaan.
Pada edisi pertama kali ini, Thailand diundi bersama Vietnam, Filipina dan Pakistan dalam kumpulan A, manakala berdasarkan format perlawanan, juara bagi kedua-dua kumpulan akan mara ke akhir manakala naib juara akan membuat penentuan tempat ketiga.
Piala ASEAN FIFA 2026 diperkenalkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur tahun lepas menerusi kerjasama FIFA dan ASEAN, dengan kejohanan itu bermatlamat memanfaatkan bola sepak sebagai wadah menyatukan komuniti, memperkukuh pembangunan sukan serta membuka lebih banyak peluang dalam arena berkenaan.–BERNAMA