KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok ru di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Anjung Selera, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah pusat bandar raya menuju ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar pokok ru.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan anggota bomba.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Likas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-313153.
“Mereka juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X