KOTA KINABALU: Malaysia tidak boleh kekal pasif berdepan peningkatan aktiviti ketenteraan Filipina, khususnya dalam persaingan strategik yang semakin berkembang di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun Filipina mempunyai hak untuk memperkukuh keupayaan pertahanan dan meningkatkan penempatan ketenteraan, Malaysia juga perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memperkukuh kedudukan pertahanan di Sabah.
“Langkah ini penting bagi memastikan sebarang konflik tidak dijangka berlaku di rantau ini tidak melimpah ke wilayah Malaysia.
“Ini adalah hak Filipina dan kita memahaminya. Tetapi kita tidak boleh hanya berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa,” katanya selepas melancarkan Program Literasi Pertahanan Nasional di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kedudukan geografi Sabah menjadikan negeri ini amat penting untuk Malaysia memperkukuh keupayaan pertahanan dan daya tahan masyarakat.
“Kedudukan Sabah yang berhampiran Filipina serta terdedah kepada perkembangan di Laut China Selatan dan Laut Sulu memerlukan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Sebarang konflik membabitkan kuasa besar di rantau ini berpotensi memberi kesan kepada Sabah, terutama disebabkan ruang geografi yang agak sempit untuk perkembangan sedemikian berlaku.
“Jika berlaku pertembungan yang tidak kita jangkakan, kita bimbang ia boleh melimpah ke kawasan kita,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, langkah Malaysia tidak harus dilihat sebagai mempersoalkan hak berdaulat Filipina untuk memperkukuh pertahanan negaranya.
Sebaliknya, katanya, ia adalah langkah yang perlu diambil bagi melindungi kepentingan dan kedaulatan Malaysia.
“Perkembangan persekitaran keselamatan serantau turut menjelaskan mengapa Sabah dipilih sebagai lokasi pertama Program Literasi Pertahanan Nasional.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan negara serta membina daya tahan rakyat dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman,” katanya.
Beliau berkata, ancaman moden tidak lagi terhad kepada serangan ketenteraan konvensional membabitkan anggota tentera, kapal perang, pesawat atau aset ketenteraan lain.
Sebaliknya, ancaman boleh muncul menerusi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, media sosial, bencana alam, kejadian berkaitan perubahan iklim serta pelbagai bentuk gangguan lain.
“Pertahanan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama. Rakyat perlu memahami bagaimana cabaran dan ancaman sudah berubah serta mereka juga mempunyai peranan untuk dimainkan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kekuatan angkatan tentera semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan daya tahan negara sekiranya masyarakat tidak mempunyai keupayaan menghadapi krisis.
Katanya, masyarakat yang berdaya tahan dan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat menyumbang kepada pembentukan keupayaan cegah rintang yang diyakini terhadap mana-mana pihak yang mempunyai niat bermusuhan terhadap negara.
“Jika mereka melihat rakyat dan angkatan tentera kita bersedia, kuat dan bersatu, mereka akan berfikir dua kali sama ada mahu menyerang kita,” katanya. Info X