KOTA KINABALU: Sabah dipilih sebagai lokasi pertama pelancaran Program Literasi Pertahanan Nasional yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan mereka dalam memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedudukan strategik Sabah yang bersempadan dengan dua negara jiran serta terdedah kepada perkembangan keselamatan di Laut China Selatan dan Laut Sulu menjadikan kesedaran masyarakat terhadap pertahanan negara amat penting.
Katanya, pemilihan Sabah sebagai lokasi pertama turut mengambil kira keperluan membina daya tahan masyarakat dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin berkembang.
“Pertahanan hari ini bukan lagi sekadar mengenai anggota tentera, aset ketenteraan atau berdepan musuh di sempadan.
“Ancaman boleh berada di mana-mana termasuk dalam komputer riba, telefon bimbit, platform digital dan media sosial,” katanya ketika melancarkan program itu di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Menurutnya, ancaman keselamatan masa kini turut melibatkan penyebaran maklumat palsu, propaganda dan provokasi yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat serta perpaduan negara.
Beliau berkata, pertahanan negara bukan lagi tanggungjawab pasukan pertahanan atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
“Pertahanan dan kedaulatan negara sudah dan mesti menjadi tanggungjawab moral yang mesti digalas oleh semua pihak.
“Kita mesti memahami apakah itu pertahanan negara, bagaimana ia berkait rapat dengan kita dan bagaimana kita sebagai orang awam boleh serta mesti terlibat dalam menyumbang kepada pertahanan negara,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, literasi pertahanan perlu dilihat sebagai satu kesedaran, ilmu dan kemahiran yang perlu dimiliki setiap warganegara.

Katanya, pertahanan mempunyai sekurang-kurangnya tiga fungsi dalam konteks negara moden iaitu sebagai pagar atau perisai, payung dan pasak kepada sebuah negara berdaulat.
“Sebagai pagar atau perisai, pertahanan berperanan memelihara sempadan tanah air daripada pencerobohan menerusi pengawalan batas negara, operasi dan pemantauan berterusan.
“Sebagai payung pula, pertahanan memayungi kita daripada anasir luar atau kelekaan dalam membuat keputusan sehingga mengheret kita ke dalam sesuatu konflik.
“Diplomasi pertahanan, pendirian dan ketegasan kita dalam sesuatu isu serta kepekaan terhadap perkembangan geopolitik di rantau ini, semuanya memberi kesan kepada kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata, fungsi sebagai pasak atau pancang negara pula berkait rapat dengan penglibatan masyarakat dalam menyemai dan memupuk sistem nilai yang baik.
“Patriotisme, perwatakan baik, kasih sayang kepada negara, toleransi dan sikap saling menghormati menjadi asas kestabilan sebuah negara majmuk.
“Dalam konteks Sabah, kepelbagaian kaum, budaya dan agama serta kedudukan negeri yang bersempadan dengan dua negara jiran memberi cabaran tersendiri kepada aspek keselamatan,” katanya.
Katanya, Sabah turut terdedah kepada perkembangan keselamatan di Laut China Selatan dan Laut Sulu, sekali gus menuntut kepekaan masyarakat.
“Di pihak MINDEF dan ATM, kita sememangnya memberi tumpuan kepada Wilayah Sabah, kita tingkatkan kehadiran anggota dan aset, kita bekerjasama dengan agensi berkaitan dan kita sediakan segala keperluan agar ATM dapat beroperasi dan bertindak dengan baik bagi melindungi wilayah ini.
“Namun, kita juga sangat memerlukan ketahanan di pihak masyarakat awam,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, masyarakat boleh menyumbang kepada pertahanan negara tanpa perlu menyertai pasukan tentera atau mengangkat senjata.

“Antaranya dengan mengambil peduli isu pertahanan, memahami rasional dasar yang dilaksanakan, mengelakkan penyebaran fitnah serta kandungan yang boleh mencetuskan kepanikan dan ketakutan awam.
“Masyarakat juga perlu menjadi warga yang cakna, rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda, provokasi, ideologi ekstrem atau gerakan subversif yang membawa ancaman keselamatan.
“Daya tahan masyarakat teruji dengan keupayaan untuk mempunyai kawalan kendiri agar tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang tidak baik, propaganda dan fitnah,” katanya.
Tambahnya, daya rintang pula akan kelihatan apabila rakyat kekal sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu, setia dan sedia mempertahankan negara ketika diuji dengan bencana dan konflik.
Beliau berkata, MINDEF dan ATM akan mempergiat siri penerangan, pencerahan serta pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu pertahanan.
Sementara itu, hampir 700 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program Bicara Literasi Pertahanan Nasional yang berlangsung sempena pelancaran berkenaan.
Peserta terdiri daripada kakitangan perkhidmatan awam kerajaan negeri dan Persekutuan, pelajar dan pendidik institusi pendidikan, anggota tentera serta veteran ATM.
Program itu melibatkan dua pengisian utama iaitu Bicara Ancaman Kognitif dan Bicara Pahlawan Negara.
Sesi Bicara Ancaman Kognitif disampaikan Senior Fellow Bait Al-Amanah, Daud Mat Din, dengan memberi fokus kepada dimensi ancaman terhadap pemikiran dan persepsi masyarakat dalam persekitaran keselamatan semasa.
Sesi Bicara Pahlawan Negara pula dikendalikan Mej Jen (B) Datuk Dr Radzi Abd Hamid sebagai moderator bersama empat panel khas, iaitu Leftenan Jeneneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said SP, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid PGB, Pegawai Waren 1 (B) Freaddey Yojod dan Lans Koperal (B) Abdul Rahman Maidin.
Mereka berkongsi pengalaman dalam mempertahankan negara serta kepentingan masyarakat memahami peranan masing-masing dalam aspek keselamatan dan kedaulatan.
Literasi Pertahanan Nasional diterajui Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menggariskan pertahanan negara sebagai tanggungjawab bersama melalui penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat menerusi pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WoGoS).
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Eksekutif MiDAS, Laksdya Datuk Yusne Mokhtar; Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Awang Ashaari serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Yahya Sulaiman. – Info X