Search

Peletakan jawatan Loke, PM tunggu surat

September 26, 2026

BERNAMA

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum menerima surat peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Tunggu surat (peletakan jawatan),” katanya ringkas bagi mengulas berhubung hasrat Loke untuk meletak jawatan Kabinet itu, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama dengan Perdana Menteri di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP itu berkata beliau kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Loke mengumumkan hasrat meletak jawatan Kabinet selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 Sept.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan itu sekembalinya ke tanah air dari China.

Ketika diminta mengulas berhubung tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) yang dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak, Anwar meminta perkara tersebut dirujuk kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

RoS mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa pada 23 Sept.

Menurut kenyataan RoS, tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 Sept 2026.–BERNAMA