KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memantau aktiviti gempa bumi di Sabah secara berterusan 24 jam sehari melalui 28 stesen seismik di seluruh negeri.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dalam satu kenyataan berkata kejadian terbaharu gempa bumi bermagnitud 3.3 di Kuamut terletak berhampiran beberapa stesen seismik.
“Antara stesen seismik yang berhampiran dengan lokasi kejadian ialah Sapulut (57.23 km), Keningau (66.51 km), Sandakan/Telupid (74.36 km), Matupang (76.67 km) dan Tenom (93.32 km),” katanya.
Beliau berkata, MET Malaysia berupaya mengesan dan menganalisis kejadian gempa bumi dengan pantas dan menyalurkan maklumat gempa dalam tempoh enam minit selepas dikesan, tertakluk kepada kesediaan data.
Bagaimanapun, katanya sehingga kini masih belum ada teknologi yang mampu meramal kejadian gempa bumi.
“MET Malaysia menjelaskan bahawa gempa bumi tidak boleh diramal dari segi masa, lokasi dan magnitud sebelum berlaku. Stesen seismik berfungsi mengesan serta menentukan magnitud gempa bumi selepas kejadian berlaku.
“Ancaman tsunami pula boleh dinilai berdasarkan magnitud gempa bumi dan data pemantauan berkaitan. Sekiranya terdapat potensi ancaman tsunami, MET Malaysia akan mengeluarkan maklumat serta amaran yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, pemasangan stesen atau sensor seismik tambahan di sesuatu lokasi boleh memperkukuh liputan dan keupayaan pemantauan setempat, namun ia tidak bermaksud gempa bumi dapat diramal lebih awal.
“MET Malaysia akan terus memantau aktiviti seismik di Sabah dan menyalurkan maklumat yang pantas, tepat serta sahih kepada orang awam dan agensi berkaitan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat berkaitan gempa bumi dan tsunami hanya melalui saluran rasmi MET Malaysia,” katanya. – Info X