JAKARTA: Pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim mahu Harimau Malaya menukar tekanan penyokong fanatik Indonesia kepada pembakar semangat apabila berdepan skuad Garuda pada aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, pada Isnin.
Mohamad Faisal berkata pemain tidak perlu terlalu memikirkan provokasi atau tekanan daripada penyokong tuan rumah kerana tumpuan utama harus diberikan kepada apa yang berlaku di atas padang.
“Kita tak perlu risau ataupun khuatir dengan provokasi oleh penyokong Indonesia. Apa yang saya harap, semua rakan-rakan saya bersiap sedia dari segi fizikal dan mental.
“Di dalam padang, kita hanya bermain 11 lawan 11. Penyokong hanya boleh memberi semangat dan sorakan. Kita anggap penyokong Indonesia itu sebagai penyokong kita sendiri juga untuk memberi semangat kepada pasukan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini, pada Ahad.
Mohamad Faisal berkata Malaysia sedar perlawanan menentang Indonesia bukan tugas mudah, namun percaya persiapan rapi dan kerja keras mampu membantu pasukan mendapatkan keputusan positif.
Pemain Selangor FC itu turut mengakui Indonesia mempamerkan permainan yang teratur ketika menewaskan Singapura tetapi yakin Malaysia mempunyai kekuatan dan kualiti tersendiri untuk memberi saingan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mahu pemain menggunakan suasana meriah di Stadium Gelora Bung Karno sebagai sumber motivasi dan bukannya membiarkan tekanan penyokong menjejaskan fokus.
Beliau berkata sebarang provokasi boleh menyebabkan pemain hilang tumpuan sekiranya tidak ditangani dengan baik, justeru aspek mental menjadi antara kunci penting dalam perlawanan itu.
“Saya rasa suasana itu memberikan kami lebih semangat dan motivasi kerana lebih baik bermain di hadapan 100,000 penyokong berbanding 1,000 orang,” katanya.
Malaysia mengumpul tiga mata selepas menewaskan Bangladesh 3-0 pada aksi pembukaan Jumaat lepas manakala Indonesia turut meraih tiga mata selepas mengatasi Singapura 2-0.
Selepas bertemu Indonesia, Malaysia akan menamatkan saingan kumpulan berdepan Singapura di Stadium Si Jalak Harupat pada Khamis depan.–BERNAMA