Search

PDRM Sabah beri perhatian isu konsert Israel Houghton

September 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah mengambil perhatian serius terhadap isu penganjuran konsert Israel Houghton yang dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini pada 22 hingga 25 Oktober depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, setakat ini dua laporan polis diterima susulan reaksi masyarakat terhadap penganjuran konsert berkenaan yang diuar-uarkan di media sosial.

Katanya, antara perkara yang dibangkitkan adalah sensitiviti berkaitan nama artis terbabit selain pendiriannya yang didakwa cenderung menyokong Israel.

“Berdasarkan siaran dalam media, kita mendapati banyak reaksi daripada masyarakat, termasuk laporan polis kerana dikatakan penganjuran ini tidak sesuai dilaksanakan pada masa sekarang.

“Nama artis ini menyebabkan ia dilihat sebagai sesuatu yang menimbulkan isu sensitiviti dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, setakat ini PDRM Sabah belum menerima sebarang permintaan daripada kerajaan negeri untuk memberikan ulasan mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga difahamkan belum menerima permohonan rasmi daripada pihak penganjur walaupun konsert itu sudah diuar-uarkan termasuk tarikh, lokasi dan harga tiket.

“Ini menimbulkan kekeliruan kerana konsert sudah diuar-uarkan, tetapi belum ada permohonan rasmi diterima kerajaan negeri mahupun permintaan kepada PDRM untuk memberikan ulasan.

“Setakat ini, berdasarkan maklumat daripada kerajaan negeri, belum ada permohonan secara rasmi,” katanya.

Menurutnya, polis akan terus memantau perkembangan isu itu selain mengambil keterangan daripada pihak tertentu bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan penganjuran konsert berkenaan.

“Kita juga menasihatkan pihak berkaitan supaya mengambil perhatian serius terhadap sensitiviti dalam kalangan masyarakat pada masa kini,” katanya.

Jauteh berkata, sekiranya permohonan rasmi diterima kerajaan negeri dan pandangan PDRM diminta, pihaknya akan memberikan nasihat berdasarkan keadaan semasa serta reaksi masyarakat.

“Memang kita akan memberi nasihat supaya konsert ini tidak diadakan dahulu.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri yang menerima permohonan itu akan membuat keputusan dan pemakluman kepada pihak pemohon,” katanya.

Menurutnya, keutamaan PDRM adalah memastikan sebarang isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat tidak menjejaskan ketenteraman awam.

“Kita melihat kepada sensitiviti masyarakat dan ketenteraman masyarakat.

“Kita akan berusaha memastikan mana-mana sensitiviti yang boleh menyebabkan ketenteraman tergugat, tindakan bersesuaian akan diambil,” katanya.

Difahamkan, konsert berkenaan adalah sebahagian daripada siri jelajah antarabangsa dan Sabah dipilih sebagai lokasi penganjurannya di Malaysia. – Info X