Search

Warga emas maut dirempuh ketika melintas jalan

September 29, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Penampang – Kota Kinabalu berhampiran Penampang Baru, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa lelaki warga asing berusia 81 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 66 tahun dengan mangsa yang dipercayai sedang melintas jalan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.” Katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan peka terhadap keadaan persekitaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X