Oleh Noraizura Ahmad
PUTRAJAYA: Menghampiri enam dekad menggalas amanah membanteras rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperhebat strategi untuk memastikan penguatkuasaan, pencegahan dan pemantapan integriti kekal menjadi benteng utama agensi itu.
Bersempena dengan ulang tahun ke-59 agensi itu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman menetapkan lima teras kepimpinan sebagai hala tuju pentadbirannya iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan yang adil dan saksama, pencegahan proaktif, penerapan teknologi dan ketelusan serta kepercayaan rakyat.
Beliau kata perubahan dinamik dalam landskap jenayah rasuah menuntut SPRM sentiasa tangkas melakukan transformasi dan menyesuaikan kaedah siasatan supaya kekal relevan menghadapi cabaran era baharu.
“Integriti adalah benteng utama dalam perjuangan membanteras rasuah, tidak boleh dikompromi atas apa-apa jua alasan, sama ada dalam membuat keputusan, menjalankan siasatan mahupun melaksanakan tanggungjawab harian,” katanya dalam sesi wawancara sempena Ulang Tahun SPRM ke-59.
Beliau berkata teras kedua diterjemahkan melalui pendekatan penguatkuasaan yang adil, termasuk keputusan SPRM menggantung pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) bagi proses reman di mahkamah bagi menangkis persepsi negatif terhadap individu yang masih dalam peringkat siasatan.
“Bagi SPRM, penguatkuasaan yang tegas tidak bermakna mengabaikan prinsip keadilan, kita boleh tegas terhadap jenayah rasuah tetapi pada masa yang sama tetap menghormati hak, maruah dan prinsip keadilan terhadap setiap individu yang berdepan proses siasatan,” katanya
Mengulas teras ketiga, Abd Halim menegaskan keutamaan SPRM untuk memperkukuh langkah pencegahan proaktif adalah dengan mengenal pasti kelemahan sistem serta menutup ruang ketirisan sebelum barah rasuah melarat, khususnya menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).
Beliau berkata BPT menggalas peranan berlandaskan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009, termasuk meneliti amalan, sistem dan tatacara badan awam di samping menasihati pihak berkaitan mengenai langkah mitigasi bagi mengekang ruang perlakuan rasuah.
“Dalam masa sama, aspek penguatkuasaan turut diperkasakan apabila SPRM tidak lagi hanya menunggu laporan, malah juga mengambil pendekatan yang lebih proaktif melalui Siasatan Berasaskan Risikan atau Intelligence Based Investigation (IBI) bagi mengenal pasti dan membongkar kegiatan rasuah. Kita mahu bertindak sebelum masalah menjadi lebih besar,” katanya.
Menyentuh teras keempat, Abd Halim berkata SPRM memberi tumpuan kepada pemerkasaan teknologi, pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi melonjakkan kecekapan operasi serta memperkukuh ketelusan siasatan.
Katanya langlah itu disokong oleh anjakan pendekatan penguatkuasaan yang tidak lagi sekadar pasif menunggu aduan, malah juga bergerak pantas menerusi IBI.
“Menerusi gabungan penggunaan analitik data, teknologi kecerdasan buatan atau AI dan sistem digital, semua ini membantu pegawai penyiasat memproses maklumat dalam jumlah yang besar dengan lebih pantas, termasuk mengenal pasti anomali, menjejaki aliran kewangan dan mengesan hubungan yang mungkin sukar dikenal pasti melalui kaedah konvensional,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Hakim berkata pada tahun ini tumpuan operasi SPRM terarah kepada empat sektor berimpak tinggi iaitu perolehan kerajaan, agensi penguatkuasaan, dana awam atau peruntukan khas, serta hasil dan pendapatan kerajaan.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos lepas, SPRM menerima 5,239 maklumat dan membuka 842 kertas siasatan yang membawa kepada 803 tangkapan membabitkan 428 individu sektor swasta dan 311 penjawat awam, dengan 352 daripadanya melibatkan kesalahan menerima suapan, 278 tuntutan palsu serta 78 kes memberi rasuah.
“Selain itu, dalam tempoh Januari hingga 31 Julai lepas, SPRM telah berjaya merekodkan jumlah lucuthak, kompaun, penyelesaian dan pembekuan serta sitaan keseluruhannya bernilai RM55,314,743,” katanya.
Beliau menegaskan bagaimanapun, statistik bukan ukuran mutlak kejayaan SPRM, sebaliknya impak sebenar adalah apabila pesalah diheret ke muka pengadilan, ketirisan dana dikembalikan kepada negara dan lompang sistem berjaya dibaiki.
Menjadikan siasatan berprofil tinggi seperti skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International sebagai contoh, Abd Halim berkata kes berkenaan memperkukuh kepakaran agensi itu dalam forensik kewangan, siasatan rentas sempadan dan pemulihan aset.
“Bagi kes 1MDB, SPRM telah berjaya mendapatkan kembali RM31.3 bilion atau bersamaan 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diselewengkan setakat tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian corak salah laku rasuah turut dibongkar menerusi operasi berimpak tinggi lain termasuk sindiket ‘counter setting’, Op Parasit, kelewatan agihan baja padi di Kedah, siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji serta pelaburan RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan perlu disusuli pembetulan sistem, pengukuhan kawalan dalaman, penambahbaikan prosedur dan peningkatan akauntabiliti supaya setiap kes yang dibongkar memberikan pengajaran kepada negara.
“Kejayaan sebenar SPRM bukan sekadar apabila kita berjaya membongkar sesuatu kes, malah juga apabila hasil daripada kes tersebut, ruang untuk rasuah menjadi semakin sempit, sistem menjadi semakin kukuh dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara semakin meningkat,” katanya.
SPRM yang ditubuhkan pada Januari 2009 menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, bertindak sebagai badan bebas tunggal yang menerajui inisiatif pencegahan dan penguatkuasaan antirasuah di negara ini.–BERNAMA