KOTA KINABALU: Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan petang tadi menyebabkan banjir kilat, selain menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya apabila air naik ke permukaan jalan.
Antara kawasan terjejas termasuk Jalan Kionsom dan Jalan Kitobu di Inanam, selain beberapa lokasi di Telipok.
Keadaan itu menyebabkan beberapa kenderaan terkandas selepas air naik dengan cepat di laluan berkenaan.

Banjir turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Penampang susulan hujan lebat yang melanda sejak petang tadi.
Keadaan air yang naik ke jalan raya turut menyebabkan pengguna terpaksa memperlahankan kenderaan, selain berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi.
Beberapa kawasan rendah turut dilaporkan dinaiki air, namun keadaan sebenar serta jumlah kawasan terjejas masih dalam pemantauan pihak berkaitan.
Orang ramai, khususnya pengguna jalan raya, dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air dan tidak memaksa kenderaan meredah laluan sekiranya paras air semakin meningkat.
Pihak berkuasa dan agensi berkaitan juga diminta memantau keadaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta penduduk di kawasan terjejas.-Info X