TAWAU: Seorang wanita berusia 61 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit kes menceroboh sebuah stor kedai di daerah Kalabakan.
Suspek warga tempatan itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan di sebuah premis tidak bernombor di Kampung Mangga, Kalabakan, susulan maklumat diterima polis berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menjalankan siasatan terhadap laporan berkaitan pencerobohan stor terbabit.
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan turut membawa kepada penemuan sembilan tong gas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan manakala semua tong gas berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang. – Info X