KOTA KINABALU: Dua kenderaan dihempap pokok yang tumbang di hadapan Masjid Padang Merdeka, di sini, malam tadi.
Kejadian jam 11.20 malam itu membabitkan Perodua Myvi dan Perodua Viva yang berada di kawasan berkenaan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sebelum 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba, pasukan mendapati pokok tumbang menghempap kedua-dua kenderaan, selain terdapat kabel elektrik yang terjatuh di kawasan berkenaan.
“Keadaan itu menyebabkan kerja pemotongan pokok tidak dapat dilakukan serta-merta atas faktor keselamatan.
“Sabah Electricity kemudian dihubungi bagi memutuskan bekalan elektrik sebelum kerja pemotongan dan pengalihan pokok dapat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.

Aizex berkata, dua petugas Sabah Electricity tiba kira-kira jam 12.58 tengah malam sebelum APM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan kerja pemotongan dan pengalihan pokok.
Katanya, operasi turut dibantu empat anggota JBPM bersama sebuah jentera, manakala tiga anggota polis mengawal lalu lintas di kawasan kejadian.
“Sehingga jam 1.52 pagi, kira-kira 70 peratus pokok berjaya dipotong dan dialihkan, sekali gus membolehkan Perodua Myvi dikeluarkan.
“Bagaimanapun, Perodua Viva belum dapat dikeluarkan kerana pemiliknya tidak berada di lokasi, manakala baki pokok akan dialihkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.
Operasi berakhir kira-kira jam 1.55 pagi. – Info X