Search

30 mangsa banjir dipindahkan di Penampang

October 2, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seramai 30 mangsa banjir membabitkan tiga lokasi di daerah ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Sukan Penampang selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir, malam tadi.

Mangsa terdiri daripada 14 penduduk di kawasan belakang Loji Rawatan Air Kasigui, 10 penduduk Kampung Penampang Proper dan enam lagi dari Kampung Kibabaig.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, operasi pertama dijalankan di belakang Loji Rawatan Air Kasigui selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota tiba tiga minit kemudian dan mendapati 14 mangsa terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita dewasa serta enam kanak-kanak memerlukan bantuan untuk keluar dari kawasan terjejas.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke PPS Kompleks Sukan Penampang dengan operasi berkenaan tamat pada jam 11.45 malam selepas keadaan dipastikan selamat.

“Pada masa sama, satu lagi pasukan digerakkan ke Kampung Penampang Proper selepas menerima laporan pada jam 10.40 malam dan membantu memindahkan 10 mangsa,” katanya.

Zeno berkata, mangsa di Kampung Penampang Proper terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dewasa serta enam kanak-kanak yang turut dibawa ke PPS sama.

Menurutnya, operasi pemindahan diteruskan di Kampung Kibabaig selepas pihaknya menerima laporan pada jam 12.14 tengah malam.

“Seramai enam mangsa terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki berjaya dipindahkan ke PPS Kompleks Sukan Penampang.

“Secara keseluruhan, seramai 30 mangsa dari tiga lokasi terbabit berjaya dipindahkan dengan selamat,” katanya.

Operasi berkenaan membabitkan anggota BBP Penampang menggunakan jentera dan bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), selain bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis bagi operasi di Kasigui. – Info X