Search

230 PATI dihantar pulang ke tiga negara

October 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 230 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Filipina, Indonesia dan Pakistan dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi laut dan udara, semalam.

Daripada jumlah itu, 157 adalah warga Filipina, 71 warga Indonesia manakala dua lagi warga Pakistan yang sebelum ini ditempatkan di beberapa depot Imigresen di Sabah.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, 157 warga Filipina berusia antara satu bulan hingga 69 tahun dipindahkan dari Depot Imigresen Papar melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu.

Katanya, mereka terdiri daripada 59 lelaki dan 45 wanita dewasa serta 53 kanak-kanak sebelum dihantar ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.

“Semua kanak-kanak yang menyertai program pemindahan berkenaan turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

“Pada hari sama, seramai 71 warga Indonesia dari Depot Imigresen Sandakan dan Tawau turut dipindahkan melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kumpulan berkenaan terdiri daripada 57 lelaki, 13 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, dua lelaki warga Pakistan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu pula dihantar pulang melalui udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan penerbangan ke Karachi, Pakistan.

JIM Sabah berkata, sehingga kini seramai 5,629 PATI sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing sepanjang tahun ini.

Jumlah itu membabitkan 3,684 warga Filipina, Indonesia (1,646), China (128), Pakistan (127), Vietnam (21) dan 23 daripada lain-lain negara.

“Semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta mempunyai dokumen perjalanan sah yang melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya.

JIM Sabah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pendatang tanpa izin menerusi saluran rasmi jabatan. – Info X