KENINGAU: Bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin, bersama bekas pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sook, Nabawan dan Tulid, menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), di sini.
Ellron menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian PGRS Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) PGRS Bahagian Pensiangan di Hotel Sento, di sini, pada Khamis.
Beliau turut dilantik sebagai AJK PGRS Bahagian Pensiangan selepas menyertai parti berkenaan.

Abdul Ghani berkata, perubahan struktur daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen menjadikan pentadbiran parti lebih mencabar, namun pada masa sama memberi ruang untuk memperkemas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Beliau berkata, PGRS Bahagian Pensiangan turut mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras di peringkat DUN sebagai langkah persediaan memperkukuh jentera pilihan raya menghadapi PRU16.
Katanya, pelantikan AJK Penaja turut mengambil kira kedudukan DUN dan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), manakala penubuhan cawangan PGRS berasaskan PDM di setiap kawasan.
Abdul Ghani mengalu-alukan penyertaan Ellron serta bekas pemimpin dan ahli STAR ke PGRS, yang disifatkannya sebagai tambahan kekuatan kepada parti itu di Bahagian Pensiangan. – Info X