RANAU: Pemeriksaan pasukan bomba di Kampung Paginatan, di sini, mendapati tiada kerosakan atau kesan akibat gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 yang berlaku di daerah ini, pagi tadi.
Malah, beberapa penduduk yang ditemui pasukan bomba turut memaklumkan mereka tidak merasai sebarang gegaran ketika kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian gempa bumi itu pada jam 11.22 pagi sebelum dua anggota digerakkan ke Kampung Paginatan untuk menjalankan pemeriksaan.
Katanya, pasukan tiba di lokasi pada jam 12.35 tengah hari sebelum melakukan pemantauan di kawasan berkenaan serta menemubual beberapa penduduk setempat.
“Hasil pemeriksaan dan maklum balas penduduk mendapati mereka tidak merasai sebarang gegaran, manakala tiada kesan atau kerosakan dilaporkan di kawasan berkenaan.
“Selepas memastikan tiada unsur bahaya atau risiko lain, pemeriksaan akhir dilakukan sebelum operasi ditamatkan pada jam 1 tengah hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 berlaku pada jam 10.57 pagi tadi dengan pusat gempa terletak kira-kira 14 kilometer di selatan Ranau.
Gempa pada koordinat 5.9 darjah Utara dan 116.7 darjah Timur itu berlaku pada kedalaman 13 kilometer dengan gegaran dilaporkan dirasai di Ranau serta kawasan sekitarnya.
MetMalaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan berkenaan. – Info X