KOTA KINABALU: Cadangan penganjuran konsert gospel Kristian tidak seharusnya dianggap menyalahi undang-undang hanya berdasarkan kewujudan laporan polis atau bantahan, kata Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata, laporan polis hanyalah maklumat yang perlu dinilai dan tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa sesuatu kesalahan sudah berlaku atau penganjur serta artis terbabit melakukan kesalahan.
Katanya, dua laporan berhubung cadangan konsert gospel Kristian itu juga tidak dengan sendirinya membuktikan acara berkenaan menyalahi undang-undang.
“Polis boleh membuka siasatan sekiranya maklumat yang diterima menunjukkan kemungkinan berlaku kesalahan atau memerlukan penelitian lanjut mengikut undang-undang.
“Siasatan adalah proses mencari fakta dan bukan penentuan bahawa seseorang itu bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Madius berkata, pada 28 September lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah dilaporkan memaklumkan dua laporan diterima berhubung konsert berkenaan, namun ketika itu kertas siasatan belum dibuka.
Sebaliknya, polis memantau perkara itu, merekod keterangan dan mempertimbangkan sama ada menasihatkan supaya acara berkenaan ditangguhkan atas alasan sensitiviti awam serta ketenteraman awam.
Beliau berkata, penilaian keselamatan dan ketenteraman awam perlu dibezakan daripada siasatan atau tindakan penguatkuasaan kerana ia bertujuan mengenal pasti risiko yang wujud serta menentukan langkah sewajarnya untuk menguruskannya.
Pada masa sama, Madius berkata, sebagai sebuah perhimpunan keagamaan, sebarang sekatan terhadap konsert gospel berkenaan juga boleh menyentuh kebebasan menganut dan mengamalkan agama seperti diperuntukkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, hak berkenaan tidak bermaksud penganjuran konsert terbabit dikecualikan daripada undang-undang atau syarat ditetapkan pihak berkuasa.
Sebaliknya, sebarang sekatan, penangguhan atau larangan perlu mempunyai asas undang-undang yang jelas serta dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan dan ketenteraman awam yang khusus serta boleh dipercayai.
“Penganjur mesti mematuhi semua keperluan berkaitan lesen, imigresen, lokasi, keselamatan dan pengurusan orang ramai.
“Sebarang keputusan untuk mengenakan syarat, menangguhkan atau melarang konsert mestilah dibenarkan undang-undang,” katanya.
Madius berkata, sensitiviti awam boleh diambil kira dalam perancangan keselamatan, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan tunggal untuk menghalang sesuatu acara.
Katanya, sebarang cadangan menangguhkan atau melarang konsert perlu dikaitkan dengan kuasa undang-undang yang sah, risiko yang dikenal pasti dan penilaian sama ada langkah kurang menyekat boleh digunakan bagi menangani risiko berkenaan.
Beliau berkata, kewujudan dua laporan polis juga tidak sepatutnya secara automatik menentukan nasib sesuatu acara yang memenuhi semua keperluan undang-undang dan peraturan.
“Sabah berhak mendapat satu piawaian penguatkuasaan undang-undang berasaskan bukti yang dilaksanakan secara tidak berat sebelah, tanpa layanan istimewa politik, prejudis agama atau tunduk kepada tekanan awam,” katanya.-Info X