Search

Bomba periksa lima daerah susulan gempa magnitud 5.0

October 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menjalankan rondaan dan pemeriksaan di lima daerah susulan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 yang melanda Lahad Datu, malam tadi.

Pemantauan membabitkan Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau dengan pemeriksaan setakat ini tidak menemukan sebarang kerosakan struktur bangunan, runtuhan atau kebakaran.

Rondaan di kawasan Kuhara court, Tawau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, pagi ini, berkata rondaan dilakukan sebagai langkah susulan bagi memastikan keadaan di kawasan terlibat selamat.

Katanya, bagi Zon 5, rondaan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Rondaan pesisir pantai Sandakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa, selain tiada kejadian runtuhan, kebakaran mahupun kecederaan dilaporkan.

“Pasukan bomba turut memberikan nasihat keselamatan kepada orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan serta segera memaklumkan pihak berkuasa sekiranya terdapat kerosakan atau kecemasan,” katanya.

Rondaan di Hotel LA Tawau.

Sementara itu, pemantauan turut dilakukan BBP Sandakan di sekitar kawasan bandar, bangunan dan rumah di kawasan pesisir dengan keadaan dilaporkan terkawal serta tiada kerosakan dikesan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 melanda Lahad Datu pada jam 9.11 malam tadi.

Gempa pada kedalaman 10 kilometer itu berpusat di kawasan perairan kira-kira 48 kilometer di timur Lahad Datu dengan gegaran turut dirasai di sekitar Pantai Timur Sabah.

Sejarah gempa bumi merekodkan Lahad Datu pernah dilanda gempa bumi bermagnitud 6.2 pada 1976, selain dua gempa bumi sederhana masing-masing bermagnitud 5.7 pada 1984 dan 1994. – Info X