Search

Lelaki dicekup bersama 26 paket syabu

October 7, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Kegiatan seorang lelaki yang disyaki mengedar dadah terbongkar selepas polis menemui 26 paket berisi lebih 50 gram methamphetamine dalam serbuan di Kampung Nanamun, di sini, pagi tadi.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, pemeriksaan menemui 26 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki methamphetamine dengan berat kasar 50.97 gram.

Superintendan Khairul Shah Peri.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM5,097.

“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kota Belud untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah.

“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Belud sementara permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Barang rampasan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut, manakala siasatan turut membabitkan rakaman percakapan suspek dan saksi,” katanya.

Khairul Shah berkata, polis akan terus mempergiat operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di daerah itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta tampil menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya. – Info X