Search

Saya ibu, saya juga kawan Zara Qairina – Noraidah

October 7, 2026

BERNAMA

KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjadikan ibunya sebagai tempat utama untuk meluahkan masalah, suka duka serta bercerita mengenai persahabatannya, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Ibunya, Noraidah Lamat, 46, yang merupakan saksi ke-82 berkata hubungan mereka sangat rapat dan beliau bukan sahaja berperanan sebagai ibu, malah juga seorang kawan kepada anak tunggalnya itu.

“Hubungan saya dengan Zara Qairina memang rapat. Saya sebagai ibu, saya juga sebagai kawan. Apa sahaja perkara, yang susah yang di sekolah, perkara lucu, semua kami akan bercerita bersama,” katanya pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Beliau berkata tiada orang lain di rumah yang menjadi tempat Zara Qairina meluahkan perasaan, justeru segala cerita mengenai suka duka dan persahabatannya dikongsi bersama beliau.

Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakilinya, Noraidah berkata beliau menguruskan hampir keseluruhan keperluan harian Zara Qairina sejak kecil, termasuk persiapan ke sekolah, pakaian, sekolah agama, kerja rumah serta urusan persekolahan.

Katanya keadaan itu kerana bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim @ Marikan, bekerja di luar Sipitang dan jarang berada di rumah, menyebabkan urusan penjagaan, persekolahan, perbelanjaan serta kebajikan anak mereka banyak diuruskan olehnya.

Beliau berkata hubungan rapat itu juga membolehkannya mengetahui perubahan emosi Zara Qairina menerusi cerita anaknya mengenai persahabatan, termasuk ketika berdepan ejekan.

Sepanjang Zara Qairina berada di sekolah rendah, Noraidah berkata beliau tidak pernah melihat anaknya mengalami masalah serius dari segi emosi atau tingkah laku.

Beliau berkata apabila Zara Qairina bersedih atau kecewa, perkara itu kebiasaannya berkaitan perselisihan dengan rakan atau perkara yang berlaku dalam kehidupan sehariannya.

Dalam keadaan sedemikian, Noraidah berkata beliau akan memberi kata-kata semangat dan mengingatkan Zara Qairina bahawa masih ada peluang untuk memperbaiki diri.

Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina sejak awal teruja untuk tinggal di asrama kerana mahu merasai kehidupan berdikari, selain mempunyai teman serta pelajar senior yang boleh dianggap sebagai kakak.

Beliau berkata Zara Qairina begitu bersemangat selepas mendapat tawaran memasuki sekolah berasrama dan mereka bersama-sama membuat persiapan, termasuk membeli pakaian serta barangan keperluan.

Katanya hari pertama menghantar Zara Qairina ke asrama pada 18 Feb 2025 juga merupakan kali pertama Noraidah berjauhan dengan anak tunggalnya itu.

Pada prosiding sebelah petang, Noraidah menolak naratif bahawa dirinya menjadi punca tekanan emosi anak tunggalnya itu, malah tidak pernah melihat sebarang tanda sedemikian sepanjang membesarkan remaja berkenaan.

“Zara Qairina seorang yang aktif, selalu menawarkan diri untuk mengikuti apa sahaja aktiviti yang dicadangkan cikgu. Dia akan menyahut cabaran dan minta galakkan saya dan saya bagi sokongan kepada dia. Daripada situ, saya tahu Zara Qairina seorang anak yang sangat bersemangat.

Beliau menjelaskan anaknya itu aktif menyertai pelbagai kegiatan termasuk pertandingan catur, deklamasi sajak dan bercerita kisah nabi, selain tidak pernah mengadu murung, mempunyai kecenderungan membunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Ketika disoal Shahlan mengenai hubungan mereka, Noraidah menegaskan tidak pernah berlaku perselisihan sehingga menyebabkan mereka tidak bertegur sapa untuk tempoh yang panjang di rumah.

Menyentuh mengenai 15 helaian kertas longgar yang dikemukakan dalam prosiding inkues, Noraidah memberitahu mahkamah beliau tidak pernah melihatnya ketika Zara Qairina masih hidup dan hanya mengetahuinya selepas ditunjukkan oleh pihak peguam.

Analisis forensik sebelum ini menghubungkan 15 helaian berkenaan dengan jurnal Zara Qairina, dengan beberapa daripadanya mengandungi luahan remaja itu terhadap ibunya.

Noraidah berkata beliau pernah melihat anaknya menulis perkataan “mama jahat” pada sekeping kertas selepas ditegur kerana leka menggunakan telefon bimbit, namun menjelaskan kertas itu bukan sebahagian daripada 15 helaian yang dikemukakan dalam prosiding mahkamah.

Beliau berkata apabila ditegur, Zara Qairina biasanya akan berdiam diri, merajuk dan menulis, namun keadaan itu tidak berpanjangan sebelum kembali berbaik dengannya seperti biasa.

Noraidah berkata beliau tidak begitu mempercayai bahawa Zara Qairina akan menulis makian terhadapnya, seperti yang terkandung dalam sebahagian 15 helaian itu kerana ia tidak sepadan dengan karakter anaknya.

Dalam pada itu, Noraidah turut meluahkan rasa terkilan dengan tohmahan netizen di media sosial sejak Julai tahun lepas, yang melabelnya sebagai ibu jahat dan menuduhnya sebagai punca tekanan emosi arwah, namun beliau kini memilih untuk tidak membaca hantaran berkenaan demi menjaga emosinya.

Beliau berkata tohmahan melampau itu mengguris hatinya, sehingga beliau terpaksa mengambil tangkap layar serta menyimpan pautan hantaran untuk dikongsikan dengan peguamnya, kerana tidak mampu berdepan sendiri dengan pihak yang membuat dakwaan itu di media sosial.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.

Prosiding inkues bersambung esok dengan saksi yang sama.–BERNAMA