Search

Penunggang motosikal maut bertembung kereta

October 8, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Suasa, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa berusia 41 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 36 tahun dan motosikal Honda ditunggang mangsa.

Katanya, ketika kejadian, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Kampung Lago menghala ke Beaufort, manakala motosikal pula bergerak dari arah Kampung Gelila Jaya menuju ke Kampung Lago.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai memasuki laluan kereta sebelum berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta mengalami kecederaan ringan, manakala seorang penumpang kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Champin berkata, polis meminta individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Beaufort atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, beliau berkata pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dan menunggang secara cermat, mematuhi peraturan lalu lintas serta kekal di laluan yang betul bagi mengelakkan kemalangan. – Info X