Search

Belanjawan 2027: Kita tidak bina negara untuk satu tahun fiskal, tetapi satu generasi – Anwar

October 9, 2026

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027, Belanjawan MADANI Kelima, disifatkan sebagai ‘Waad Nasional’ yang mencerminkan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kekuatan ekonomi negara diterjemahkan kepada keadilan sosial, peluang lebih saksama dan peningkatan maruah rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini berkata belanjawan negara tidak seharusnya berdiri atas kuasa semata-mata, sebaliknya berteraskan keadilan dan dipagari amanah.

“Lantaran itu, mesti ditegaskan bahawa Belanjawan Negara adalah pernyataan moral atau Waad Nasional sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Dengan keyakinan bahawa kekuatan ekonomi harus mengangkat kemuliaan insan, pertumbuhan mesti membuahkan keadilan, reformasi mesti memulihkan keyakinan dan setiap generasi wajib mewariskan negara yang lebih baik daripada sebelumnya, maka saya hamparkan Belanjawan MADANI 2027 sebagai ikhtiar sebuah generasi untuk memperkukuh tatanan dan memenuhi janji dan Waad Nasional kepada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata prinsip tersebut diterjemahkan menerusi lapan lunas utama Belanjawan 2027, merangkumi usaha menangani kos sara hidup, mengutamakan semua negeri, membela nasib rakyat, meningkatkan mutu perkhidmatan awam, menjamin bekalan dan kesiapsiagaan negara, memecah siling keupayaan ekonomi, memelihara citra nusa serta menata wang rakyat dengan amanah.

Menurut Anwar, Waad Nasional membawa pengertian bahawa negara tidak akan meminggirkan golongan yang dihimpit kesusahan, manakala setiap anak Malaysia berhak mencapai potensi masing-masing tanpa mengira latar keluarga, wilayah atau kedudukan.

Prinsip itu, katanya, turut merangkumi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perlu dilihat sebagai sebahagian daripada Waad Nasional dan tanggungjawab nasional yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar pemberian khas sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion. Bayaran ini akan dilunaskan sebelum hujung tahun, dan rundingan bersama diteruskan untuk memuktamadkan formula tahunan yang adil serta mampan,” katanya.

Dalam konteks pembangunan Sabah dan Sarawak, Anwar berkata peruntukan Persekutuan bagi kedua-dua negeri itu pada 2027 kekal pada paras tertinggi, dengan Sabah menerima RM18.7 bilion manakala Sarawak RM16.2 bilion.

Beliau berkata sebanyak 12 perkara berkaitan MA63 telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan MADANI, antaranya penetapan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta penyerahan MASWings kepada Sarawak untuk dijenamakan sebagai AirBorneo.

Selain itu, kuasa kawal selia elektrik telah diserahkan kepada Sabah, manakala Kerajaan Persekutuan terus menyediakan RM600 juta bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu.

Menurut Anwar, langkah tersebut memperlihatkan ukuran sebenar sesebuah belanjawan bukan semata-mata pada jumlah peruntukan atau banyaknya pengumuman, tetapi sejauh mana hasilnya membolehkan rakyat hidup dengan bermaruah serta mewariskan Malaysia yang lebih adil kepada generasi seterusnya.

“Negara menyediakan ruang dan peluang, rakyat mengisinya dengan ilmu, kerja, daya cipta dan keberanian. Pemerintah menjaga amanah, rakyat memperkukuh negara melalui usaha dan kecemerlangan. Maka ia adalah kewajiban sejarah,” katanya.

Beliau berkata gagasan Waad Nasional turut meletakkan tanggungjawab kepada setiap generasi untuk menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik kepada generasi berikutnya, yang disifatkannya sebagai tanggungjawab antara generasi.

“Ia adalah kesempatan kepada generasi kita untuk meninggalkan sebuah negara lebih kukuh daripada yang kita warisi, dengan institusi lebih diyakini dan dipercayai, ekonomi lebih rencam dan generasi muda yang mempunyai ruang lebih luas untuk mencipta masa depan mereka sendiri.

“Kita tidak membina negara untuk satu tahun fiskal. Kita membina negara untuk satu generasi. Dan tugas sebuah generasi bukan semata-mata menikmati apa yang diwarisi, tetapi memperluas apa yang boleh diwariskan,” katanya.

Anwar berkata tanggungjawab tersebut memberikan makna kepada Waad Nasional, iaitu janji bahawa negara akan terus menyantuni rakyat, kuasa sentiasa dipagari amanah dan hasil negara dikembalikan kepada kemaslahatan ramai.

“Waad ini juga mengingatkan bahawa pembangunan bukan kerja kerajaan semata-mata. Ia adalah ikhtiar kolektif. Pemerintah menggalas amanah, rakyat mencurahkan daya usaha, negara membuka ruang, masyarakat mengisinya dengan ilmu, kreativiti dan keberanian,” katanya.

Mengaitkan gagasan itu dengan tradisi pemikiran Melayu yang meletakkan keadilan dan amanah sebagai asas pemerintahan, Perdana Menteri memetik penyair dan sejarawan Melayu Raja Ali Haji melalui Gurindam Dua Belas: “Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat”.

Petikan itu, katanya, mengukuhkan prinsip bahawa kuasa pemerintahan perlu sentiasa disertai amanah dan pertanggungjawaban.

Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada kebajikan kumpulan tumpuan termasuk warga emas dan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dengan mengumumkan peningkatan bantuan warga emas kepada RM1.3 bilion tahun hadapan bagi manfaat hampir 200,000 penerima, manakala peruntukan keseluruhan bagi bantuan OKU meningkat kepada RM1.5 bilion untuk manfaat lebih 300,000 OKU.

Selain itu, Perdana Menteri berkata Kementerian Pendidikan kekal menerima peruntukan tertinggi tahun depan iaitu hampir RM69 bilion berbanding RM66.2 bilion tahun ini, termasuk peruntukan RM1 bilion bagi bantuan awal persekolahan yang ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200.

“Ini bermakna, keluarga dengan empat anak akan menerima RM800 untuk persiapan bagi sesi persekolahan 2027,” katanya bahawa peruntukan itu akan memanfaatkan seramai 5.3 juta murid.

Kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan menerusi Belanjawan 2027.

Perdana Menteri berkata peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50, dan langkah itu akan memanfaatkan lebih 400,000 peminjam PTPTN.

Bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam, kerajaan bakal memperkenalkan kemudahan MyKomuter50 untuk memanfaatkan 40,000 pengguna KTM Komuter selain meneruskan kemudahan My50 untuk manfaat 300,000 pengguna bas dan rel Prasarana di Lembah Klang.

Tragedi jalan raya yang meragut nyawa akibat pemandu mabuk mendorong kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol untuk membayar pampasan kepada mangsa selain sistem telematik akan diwajibkan untuk dipasang di kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan RM22 bilion, dengan RM7.1 bilion dikhususkan untuk membeli dan menyelenggara aset-aset angkatan tentera, polis dan badan beruniform di bawah KDN.

Keselamatan sempadan dan ruang siber turut diperkukuh dengan RM490 juta diperuntukkan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, selain kawalan keselamatan lapangan terbang dipertingkat.

Usaha membanteras penipuan dan jenayah siber pula diperkasa menerusi penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) bagi mengesan scammer, peningkatan keupayaan mengesan eksploitasi seksual kanak-kanak serta peluasan Kempen Internet Selamat di sekolah.

Bagi mengangkat citra negara dan mencipta pekerjaan, lebih RM130 juta diperuntukkan bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

Sebagai persiapan menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM240 juta bagi persiapan penganjuran selain peruntukan RM460 juta untuk pembangunan sukan negara.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM935 juta untuk pelancongan dan budaya termasuk kempen Tahun Melawat Malaysia yang dilanjutkan hingga tahun hadapan, selain menyediakan geran galakan kepada penggiat industri untuk mempromosi dan menganjurkan acara pelancongan.

Bagi meningkatkan syiar Islam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan ditingkatkan daripada RM2.6 bilion kepada RM3.1 bilion. Khabar gembira turut diumumkan bagi 500 guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas dengan pemberian insentif khas sebanyak RM150 sebulan.

Sementara itu, kerajaan melalui Tabung Haji akan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO bagi semua 40,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir.

Memasuki tahun kelima pentadbiran, agenda reformasi MADANI terus diperteguh tanpa gentar menerusi penggubalan Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola entiti yang diamanah mengurus wang dan aset rakyat.

“RUU ini meliputi syarikat Kerajaan dan Badan Berkanun bagi mengekang keterlanjuran seumpama skandal 1MDB, kemelut Tabung Haji dan FELDA daripada berulang,” kata Anwar.

Bagi menghargai sumbangan 1.6 juta penjawat awam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan membina dan menyelenggara kuarters termasuk polis, doktor, tentera, guru dan bomba ditingkatkan kepada RM2.3 bilion.

Sementara elaun anggota RELA, Bomba Bantuan, Sukarelawan Polis dan Sukarelawan Pertahanan Awam akan dinaikkan kepada RM9 sejam bagi kategori petugas sukarelawan dan RM10.80 sejam bagi kategori penyelia dengan peruntukan sebanyak RM339 juta yang memanfaat hampir 50,000 sukarelawan.

Kerajaan juga bersetuju menaikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan daripada 360 hari kepada 490 hari, dengan RM20 juta disediakan bagi menambah baik pusat penjagaan anak di fasiliti Kerajaan.

Kadar pencen terendah pula akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan yang akan memanfaat hampir 59,000 pesara, veteran ATM dan penerima pencen terbitan.

Mengakhiri pembentangannya, Anwar mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam daripada Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Mengenang jasa penjawat awam, kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan khas kewangan RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan dibayar sebanyak dua kali iaitu sebelum sambutan Aidilfitri dan sempena ambang tujuh dasawarsa merdeka,” katanya.

Belanjawan kali ini menggembleng keseluruhan kekuatan negara berjumlah RM510 bilion, dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, merangkumi RM376.8 bilion perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan.

Ia turut merangkumi pelaburan RM25 bilion oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion menerusi kerjasama awam-swasta serta RM14.2 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan. – BERNAMA