KOTA KINABALU: Cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lalu perlu dirangka dengan lebih tegas.
Sambil menyambut baik pindaan berkenaan, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah menggesa kerajaan mempercepatkan akta baharu berkenaan sebagai hukuman drastik kepada pemandu mabuk dan khayal dadah.
Tegasnya, BBC melihat akta baharu itu sebagai wajar bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah membayar pampasan kepada mangsa dan keluarga mangsa.
“Selain membayar pampasan, BBC mencadangkan supaya akta itu digubal dengan lebih drastik membolehkan kenderaan pesalah dirampas dan dan dilucut hak, khususnya melibatkan kematian dan kecederan parah.
“Jika Malaysia boleh melucutkan lori komersial secara kekal kerana membawa muatan berlebihan, adalah adil jika ia juga dikenakan terhadap kes pemandu mabuk atau khayal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Masiung berkata, cadangan itu perlu memperincikan beberapa keadaan yang membolehkan rampasan mandatori termasuk kesalahan berulang.
Jelasnya, kenderaan pesalah hendaklah disita di lokasi kejadian sebelum notis rampasan dikeluarkan kepada pemilik dalam tempoh 48 jam.
Masiung menegaskan kes perlu dibawa ke mahkamah, selepas sabitan dan perintah pelucutan hak perlu dikeluarkan dan lesen pesalah juga wajar dibekukan.
ADUN Kuamut itu berkata, hak milik kenderaan hendaklah dipindah kepada kerajaan sebelum dilelong selepas tempoh minimum 90 hari.
Jelasnya, cadangan tersebut turut mengambil kira perlindungan kepada pemilik pihak ketiga yang tidak bersalah seperti ibu bapa, majikan dan agensi kerajaan.
Katanya, pindaan baharu itu wajar ada budi bicara dalam kes melibatkan golongan B40, khususnya melibatkan penunggang motosikal bagi kesalahan pertama dengan tahap alkohol yang rendah. – Info X