TENOM: Prosiding mahkamah membabitkan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang sepatutnya berlangsung jam 2 petang hari ini ditangguhkan esok.
Penangguhan terbabit ialah bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan hujahan ringkas melibatkan penggunaan pemacu kilat yang mengandungi 90 gambar berunsur lucah sebagai bahan bukti.
Difahamkan prosiding kes terbabit akan diteruskan pada jam 10.30 pagi esok.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Tenom dalam perbicaraan, petang semalam tidak membenarkan permohonan pendakwaan bagi mengambil keterangan secara tertutup menggunakan kamera melibatkan dua saksi seterusnya.
Majistret Nur Asyrat Zolhani dalam keputusannya memaklumkan mahkamah berpendapat tiada sebab untuk mahkamah mendengar perbicaraan menerusi kamera seperti di bawah Seksyen 101 Akta Mahkamah Rendah 1948.
Menerusi keputusan itu, mahkamah tidak membenarkan keterangan bagi pegawai analisis forensik, Inspektor Yip Chang Ching diambil melalui kamera memandangkan kes itu melibatkan jenayah seksual dan bukti dijangka boleh bersifat bahan lucah.
Dalam pada itu, bagi pengadu (identiti tidak didedahkan) dalam kes ini, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pendekatan memberi keterangan seumpama itu bersesuaian atau sebaliknya.
Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dalam permohonannya meminta mahkamah memberi kebenaran dua saksi pendakwaan aitu pengadu (identiti tidak didedahkan) dan pegawai analisis forensik, Inspektor Yip Chang Ching diambil keterangan menggunakan kamera. – Info X