Search

Motosikal pun mahu diseludup guna bot…

October 14, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Bukan sekadar petrol, sebuah motosikal jenis Yamaha turut cuba diseludup keluar ke negara jiran menggunakan bot sebelum kegiatan itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Felda Sahabat, Tungku, di sini, hari ini.

Cubaan membawa keluar motosikal bersama 240 liter petrol itu terbongkar selepas suspek bertindak memecut bot ke arah pesisir pantai sebaik menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia.

Bagaimanapun, suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan berhampiran dengan meninggalkan bot bersama muatan yang dipercayai mahu diseludup keluar dari negara ini.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kejadian dikesan ketika anggotanya menjalankan rondaan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.

Katanya, pasukan operasi mengesan sebuah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.35 batu nautika barat daya Kampung Sinakut Tengah.

“Sebaik menyedari kehadiran bot ronda penguat kuasa yang cuba menghampiri untuk pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju bot ke arah pesisir pantai.

“Suspek kemudian meloloskan diri ke kawasan berhampiran dengan meninggalkan bot bersama muatannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulfikhar berkata, pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 12 gelen berisi petrol dengan anggaran keseluruhan 240 liter.

Katanya, pasukan operasi turut menemukan sebuah motosikal jenis Yamaha yang dibawa menggunakan bot berkenaan.

“Kesemua barangan kawalan dan kenderaan itu disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran secara tidak sah.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, motosikal dan petrol dianggarkan RM50,000,” katanya.

Menurutnya, bot bersama semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan barangan kawalan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – Info X