SEMPORNA: Sebanyak 26 rumah setinggan di Kampung Pinggir Bakau, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi. .
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10.50 pagi itu membabitkan rumah tidak kekal di kawasan berkenaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi sebelum jentera tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
Katanya, kebakaran membabitkan kawasan dianggarkan seluas 150 x 200 kaki persegi dan pasukan bomba berdepan kesukaran menjalankan operasi pemadaman berikutan keadaan air laut surut.
“Pasukan turut melakukan pemisah kebakaran (firebreak) dengan merobohkan rumah bagi mengelakkan api daripada terus merebak.

“Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 11.58 pagi sebelum kerja-kerja memadam bara api dan pemeriksaan keselamatan diteruskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, seramai 37 anggota dari BBP Semporna, BBP Air Semporna dan BBP Kunak digerakkan bagi membantu operasi berkenaan.
Katanya, operasi menggunakan kira-kira 1,300 kaki hos dengan empat pancutan air menerusi sistem pam geganti, sebuah pam angkut serta dua jentera bomba.
“Bekalan air diperoleh daripada pili bomba, manakala Jabatan Air turut dimaklumkan bagi mendapatkan bantuan susulan masalah sumber air ketika operasi dijalankan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.35 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X