KOTA KINABALU: Kira-kira 250 pelari gunung elit dan berpengalaman dari seluruh dunia bakal menyertai Mount Kinabalu International Climbathon Edisi Ke-33 yang berlangsung pada 18 Oktober ini.
Acara yang diiktiraf Persatuan Larian Denai Antarabangsa (ITRA) itu menghimpunkan atlet terkemuka dari Malaysia serta pelbagai negara termasuk Jepun, Filipina, Singapura, Indonesia, Australia, Itali, Rusia, Sepanyol, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Penganjuran tahun ini turut membawa kepentingan antarabangsa lebih besar apabila Climbathon kembali menyertai Merrell Skyrunner World Series buat kali kedua, sekali gus meletakkan Gunung Kinabalu sebagai antara destinasi penting dalam kalendar pertandingan larian gunung dunia.
Siri berkenaan merangkumi 19 perlumbaan di 12 negara merentasi empat benua, dengan Gunung Kinabalu menjadi lokasi perlumbaan ke-17 bagi musim 2026 sebelum acara kemuncak SkyMasters Grand Finale di Marató dels Dements, Sepanyol, pada 7 November ini.
Kira-kira 20 atlet terkemuka Merrell Skyrunner World Series dijangka mengambil bahagian, sekali gus meningkatkan tahap persaingan dalam acara yang menawarkan tiga kategori utama, iaitu Lelaki Elit, Wanita Elit dan Lelaki Veteran.
Antara pelari yang bakal beraksi dalam kategori Lelaki Elit ialah Daniel Antonioli dari Itali yang kini menduduki ranking ketujuh dunia, Alex Oberbacher dari Itali di kedudukan ke-11, Shoma Otagiri dari Jepun di tangga ke-18 dan Luis Ovalle Rodriguez dari Chile di kedudukan ke-33.
Kategori Wanita Elit pula menyaksikan penyertaan Svetlana Nurmukhametova dari Rusia yang menduduki ranking keenam dunia, Vanja Cnops dari Rusia di kedudukan ke-23 dan June Villarroel dari Sepanyol di tangga ke-33.
Pelari Filipina, Sandi Menchi Abahan, yang menjuarai kategori Wanita Elit pada 2024 dan menduduki tempat ketujuh pada edisi tahun lalu, turut kembali menyahut cabaran tahun ini.
Sabah turut mempertaruhkan pelari tempatan bagi merebut kedudukan terbaik di gelanggang sendiri menerusi Oswald Maikol, Jude Maikol dan Sheron Sariman yang masing-masing menduduki tempat ke-11, ke-12 dan ke-13 dalam kategori Lelaki Elit pada edisi 2025.
Dalam kategori Lelaki Veteran, Daved Simpat akan berusaha mempertahankan gelaran juara yang dimenanginya tahun lalu.
Beliau dijangka menerima saingan daripada beberapa pelari Sabah, termasuk Raichin Sungkit, Safrey Sumping, Milton Amat, Tivel Peter Ramo dan Pettry Osman yang turut mencatat keputusan baik pada edisi terdahulu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata penyertaan semula Climbathon dalam Merrell Skyrunner World Series mengukuhkan kedudukan Sabah di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan pengembaraan, alam semula jadi dan acara sukan bertaraf dunia.
Beliau berkata, kehadiran pelari dari pelbagai negara membuktikan pengiktirafan antarabangsa yang berjaya dibina oleh acara berkenaan sejak sekian lama.
“Kemasukannya dalam Merrell Skyrunner World Series meletakkan Gunung Kinabalu sebaris dengan destinasi larian gunung antarabangsa di empat benua.
“Kami juga berbangga melihat pelari dari Sabah dan Malaysia bersaing bersama atlet yang mempunyai ranking antarabangsa. Ini memberi peluang kepada pelari tempatan untuk menguji kemampuan mereka pada peringkat antarabangsa di tanah sendiri, di samping memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan ini,” katanya.
Jafry berkata, penganjuran Climbathon turut menyumbang kepada usaha memperluas manfaat sektor pelancongan Sabah melalui kehadiran atlet, keluarga, penyokong dan pengunjung dari dalam serta luar negara.
Menurutnya, Gunung Kinabalu sebagai antara ikon pelancongan negeri yang paling dikenali mampu menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap keindahan alam semula jadi, budaya dan keramahan penduduk tempatan.
Beliau berkata, manfaat acara itu bukan sahaja tertumpu kepada pertandingan, malah berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat dan industri pelancongan di kawasan sekitar.
Climbathon akan berlangsung di Taman Kinabalu, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2000 berikutan nilai semula jadi dan kepelbagaian biologinya.
Kawasan itu turut menjadi sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark yang mendapat pengiktirafan pada 2023.
Sejak diperkenalkan pada 1987, Mount Kinabalu International Climbathon berkembang menjadi antara acara sukan paling lama berlangsung di Sabah, sekali gus sinonim dengan ketahanan fizikal, kecekalan dan semangat pengembaraan.
Sementara itu, penganjuran Timpohon Run 2026 akan membuka tirai hujung minggu Climbathon pada 17 Oktober ini.
Acara larian sejauh 10 kilometer itu memberi peluang kepada peminat sukan berkenaan merasai sebahagian laluan Climbathon tanpa perlu meneruskan perjalanan hingga ke puncak Gunung Kinabalu.
Laluan bermula di Dewan Kinabalu sebelum menuju ke Pintu Timpohon, kemudian peserta berpatah balik melalui Silau-Silau Trail untuk kembali ke garisan penamat di Dewan Kinabalu.
Lebih 350 peserta dijangka menyertai Timpohon Run dalam kategori Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka, dengan penyertaan dikhususkan kepada pelari yang tidak bertanding dalam acara utama Climbathon.
Mount Kinabalu International Climbathon Edisi Ke-33 dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah menerusi anak syarikatnya, Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd, dengan kerjasama Taman-Taman Sabah.
Orang ramai dijemput menyaksikan pelepasan peserta pada jam 6.30 pagi, 18 Oktober ini, di kawasan tempat letak kereta Dewan Kinabalu.-Info X