KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) meraih enam pengiktirafan dalam IGNITE 2026 Project Management Awards yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan dan kepakaran warga kerja Sabah Electricity dalam menerajui projek strategik dan inovasi industri tenaga.
Katanya, pencapaian itu juga bukan saja menyerlahkan kecemerlangan pelaksanaan projek, malah keupayaan modal insan syarikat dalam mengaplikasikan kepakaran teknikal, pendigitalan dan kepimpinan projek bagi menghasilkan nilai kepada organisasi serta pelanggan.
Lebih membanggakan, katanya dua daripada pengiktirafan utama membabitkan individu yang berjaya menonjolkan kompetensi dan kepimpinan dalam pengurusan projek, iaitu Ir Dayang Sitti Noradzlin Yunos yang memenangi kategori Best Project Manager (Non PMIMY Member), manakala Ir Suadi Wahab, PMP menerima Honourable Mention bagi kategori Best Project Manager (PMIMY Member).
Sabah Electricity katanya turut memenangi kategori Outstanding Project (Construction / Infrastructure) menerusi Projek Capacitor Bank 132kV di PMU Tawau dan kategori Best Digital & AI menerusi Major Project Division Digitalization Project.
Sementara itu, katanya Projek PPU Benoni 33/11kV, Papar, pula menerima Honourable Mention dalam kategori Engineering & Technology, mabakala syarikat turut berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir kategori Best Project of the Year (Excellence Award).
“Pencapaian ini memperlihatkan bagaimana gabungan kepakaran kejuruteraan, keupayaan digital dan kepimpinan projek memainkan peranan penting dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan nilai tambah kepada operasi syarikat,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.
Katanya, selaras dengan tema IGNITE 2026, Project Manager as Orchestrator: The Guardian of Project Value, kejayaan pengurusan projek bukan sekadar diukur berdasarkan tempoh pelaksanaan dan kos, tetapi turut mengambil kira nilai, impak dan manfaat jangka panjang yang dihasilkan.
Mohd Yaakob berkata, pengiktirafan itu turut mengukuhkan kepentingan modal insan sebagai aset strategik organisasi selaras dengan usaha syarikat memberikan tumpuan kepada pembangunan kompetensi, perkongsian ilmu, pengukuhan kepimpinan dan penerapan budaya inovasi yang menjadi elemen penting dalam membina pasukan yang berupaya mendepani cabaran teknologi serta keperluan sistem bekalan elektrik yang semakin kompleks.
Katanya, Sabah Electricity juga diberikan pengiktirafan pada 2025 apabila projek Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu meraih tiga pengiktirafan menerusi Project Management Awards 2025.
“Pengiktirafan tersebut merangkumi Best Project Manager, Green Initiative Winner dan Best Project of the Year – Excellent Award, sekali gus mencerminkan kecemerlangan dalam pengurusan projek, penerapan inisiatif hijau serta pembangunan infrastruktur tenaga.
“Sabah Electricity akan terus memperkukuh keupayaan dan profesionalisme warga kerjanya agar kepakaran yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang lebih cekap, inovatif dan mampan.
“Usaha ini juga penting bagi menyokong peningkatan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta mutu perkhidmatan kepada pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya. – Info X