Search

Big Sabah Car Show berpotensi jadi acara pelancongan utama Sabah

October 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penganjuran The Big Sabah Car Show 2026 berpotensi menjadi antara acara pelancongan utama di Sabah, sekali gus membantu merancakkan industri pelancongan negeri menjelang kempen Tahun Melawat Sabah 2027 (Visit Sabah 2027).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, menyambut baik penganjuran acara anjuran CULT Event Management (CULT Malaysia) yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 31 Oktober hingga 1 November ini di Sabah International Convention Centre (SICC).

Sokongan itu dinyatakan ketika beliau bersama Pembantu Menteri, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, menerima kunjungan hormat delegasi CULT Malaysia dan wakil Breeze Magazine bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam mempromosikan pelancongan Sabah.

Jafry berkata, penganjuran acara automotif mampu menjadi platform alternatif untuk menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri, selain memperkenalkan Sabah menerusi pendekatan pelancongan yang lebih kreatif dan pelbagai.

Beliau turut bersetuju menyokong usaha memasukkan acara berkenaan dalam Kalendar Acara Pelancongan Sabah bagi memperkukuh promosi negeri sebagai destinasi pelancongan berasaskan acara.

Pendekatan itu juga dapat memperluas tarikan pelancongan Sabah yang bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, malah mempunyai potensi besar dalam sektor automotif, gaya hidup dan pelancongan bandar.

Sementara itu, Dr Andi menyambut baik inisiatif berkenaan, khususnya potensi penglibatan komuniti automotif, golongan belia dan pemain industri tempatan dalam menyokong aspirasi Visit Sabah 2027.

The Big Sabah Car Show 2026 akan menampilkan dua program utama, iaitu Borneo 4×4 Outdoor Show 2026 pada 31 Oktober, diikuti CULT Car Culture Festival 2026 pada 1 November.

Program dua hari itu dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung, sekali gus membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk meraih manfaat menerusi peningkatan permintaan dalam sektor perhotelan, pengangkutan serta makanan dan minuman.

Selain pameran kenderaan dan aktiviti gaya hidup automotif, penganjur turut mencadangkan pelaksanaan Kempen Pelekat Kenderaan Visit Sabah 2027 sebagai salah satu inisiatif promosi pelancongan yang membabitkan komuniti permotoran.

Menerusi kempen itu, pelekat khas yang memaparkan identiti dan mesej pelancongan Sabah akan digunakan pada kenderaan peserta serta komuniti automotif sebagai medium promosi bergerak.

Inisiatif berkenaan dijangka membantu memperluas kesedaran mengenai Visit Sabah 2027 dalam kalangan peminat automotif dan masyarakat umum, termasuk di luar Sabah.

Dalam perkembangan sama, Breeze Magazine menyatakan komitmen untuk membantu mempromosikan penganjuran acara itu serta memperluas publisiti pelancongan Sabah menerusi penerbitan majalah, liputan editorial, fotografi dan platform digital.

Kerjasama berkenaan diharap dapat mengetengahkan destinasi menarik, kepelbagaian budaya, produk pelancongan dan aktiviti gaya hidup di Sabah kepada khalayak lebih luas.

Pengarah Program CULT, Azlin Awang Chee, berkata sambutan positif daripada kepimpinan kementerian itu menjadi perkembangan penting dalam usaha menjadikan CULT sebagai acara tahunan yang mampu menarik pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Brunei dan negara jiran.

Beliau berkata, penganjuran acara seumpama itu bukan sahaja menghimpunkan peminat automotif, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan pelancongan berasaskan acara serta membuka peluang kerjasama antara sektor swasta, industri kreatif dan agensi pelancongan.

CULT Malaysia berharap kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta rakan media dapat diteruskan bagi memperluas skala penganjuran pada masa hadapan, selaras dengan usaha menjadikan Sabah destinasi pilihan pelancongan acara di rantau Borneo.-Info X