Search

Hasilkan bom ikan di dapur rumah, lelaki parah akibat letupan

October 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera parah selepas bom ikan yang dipercayai sedang dihasilkannya meletup di dapur sebuah rumah di Kampung Keliangau, Manggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah pada kedua-dua tangan dan perut.

Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Menggatal sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan kini dilaporkan kritikal serta tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menghasilkan bahan letupan buatan sendiri untuk tujuan menangkap ikan.

Katanya, kejadian berlaku di bahagian dapur rumah berkenaan yang terletak di Jalan Reflesia, Kampung Keliangau.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain.

“Susulan kejadian, sepasukan anggota polis bersama Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan IPD Kota Kinabalu menjalankan pemeriksaan di lokasi.

“Pemeriksaan menemukan beberapa bahan yang disyaki digunakan untuk menghasilkan bom ikan buatan sendiri dan semuanya dirampas bagi tujuan pemeriksaan teknikal serta siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan, sumber bahan yang digunakan serta kemungkinan pembabitan individu lain.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menghasilkan, memiliki atau mengendalikan bahan letupan tanpa kebenaran sah kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan diri dan orang sekeliling.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis. – Info X