Search

Polis siasat hantaran Facebook ajak bakar kedai di Ranau

October 18, 2026

Info X Reporters

RANAU: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran di Facebook yang mengandungi kenyataan berunsur hasutan supaya membakar semua kedai milik warga Pakistan di Ranau dan seluruh Malaysia.

Hantaran yang dikesan menerusi laman Facebook ‘Berita Harian Ranau’ itu turut menarik perhatian ramai apabila menerima kira-kira 200 komen sebelum dipadam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya mengesan kenyataan berkenaan pada 17 Oktober lalu selepas dimuat naik oleh seorang individu.

Katanya, pihak polis sempat mengambil tangkap layar kenyataan terbabit sebelum hantaran berkenaan dipadam.

“Kenyataan itu turut meletakkan tanda pagar #pdrm dan menimbulkan ketakutan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Susulan itu, IPD Ranau membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mursalin berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan media sosial yang boleh mencetuskan kegusaran awam dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengendali serta pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi sehingga melanggar undang-undang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau yang sentiasa peka dan memberikan kerjasama kepada polis dalam usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan awam. – Info X