Search

Minyak sawit mentah empat tan dirampas

October 18, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Aktiviti pemindahan minyak sawit mentah (CPO) yang disyaki dilakukan tanpa mematuhi peraturan berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sandakan, awal pagi semalam.

Dalam operasi itu, sebuah bot kargo yang membawa kira-kira empat tan CPO ditahan untuk pemeriksaan berhampiran sebuah tongkang.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pemeriksaan turut menemukan minyak petrol, sebuah enjin pam dan dua enjin sangkut berkuasa 50 kuasa kuda (HP).

Katanya, keseluruhan nilai rampasan membabitkan bot kargo dan semua barang kes dianggarkan RM63,792.

“Pemeriksaan dilakukan susulan maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan menerusi Op Sejahtera 1/2022, Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara COVID-19 dan Op Tiris 4.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 kerana gagal mempamerkan ikrar pergerakan domestik yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menurutnya, bot itu turut disyaki melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana gagal mempamerkan lesen bot.

“Bot kargo bersama barang kes dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Tiada individu ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya.

Muhamad Suhairy berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang, selain memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X