TAWAU: Keasyikan menikmati malam minggu membawa padah kepada dua lelaki apabila ditahan polis atas kesalahan lalu lintas, termasuk seorang penunggang motosikal yang didapati positif alkohol dalam operasi di Batu 24, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Dalam Operasi Motosikal yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu, sebanyak 14 kenderaan turut disita, manakala 10 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi bermula jam 9 malam hingga 3.30 pagi itu menyaksikan sebanyak 60 kenderaan diperiksa, termasuk 30 motosikal.
Katanya, antara kesalahan dikesan ialah memandu tanpa lesen, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, kenderaan tanpa nombor pendaftaran, penunggang motosikal bawah umur 17 tahun, tidak memakai tali pinggang keledar serta pengubahsuaian ekzos.
“Sebanyak 10 saman dikeluarkan, masing-masing tujuh terhadap penunggang motosikal dan tiga membabitkan pengguna motokar.
“Selain itu, 14 kenderaan disita membabitkan 11 motosikal dan tiga motokar atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, dalam operasi sama, seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun ditahan selepas ujian alkohol menggunakan alat EBA II menunjukkan bacaan 58 miligram bagi setiap 100 mililiter.
Katanya, lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Seorang lagi lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) akta sama.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan undang-undang jalan raya, khususnya perbuatan memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol yang boleh mengancam nyawa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan lesen memandu sah, mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi undang-undang.
“Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat mempertaruhkan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya. – Info X