Search

Pelari Itali, Sepanyol, Russia juara Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu

October 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelari Itali, Alex Oberbacher menjuarai Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu Ke-33 bagi kategori Lelaki Elit dengan mencatat masa tiga jam, 20 minit dan 54 saat di Taman Kinabalu, Kundasang pada Ahad.

Bagi kategori Wanita Elit, gelaran juara dimenangi June Villariel dari Sepanyol dengan catatan masa empat jam, sembilan minit dan 14 saat.

Sementara itu, Markov Evegenii dari Russia memenangi gelaran Lelaki Veteran dengan catatan masa tiga jam, 29 minit dan 11 saat.

Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu membawa bersama atlet elit dan pelari gunung yang berpengalaman bagi menguji kekuatan masing-masing di gunung tertinggi Malaysia.

Peserta perlu melalui perlumbaan sejauh 24.5 kilometer dari kaki gunung hingga ke puncak Kinabalu dengan ketinggian 4,092 meter sebelum turun semula di menyusuri laluan yang mencabar.

Bagi edisi tahun ini, peserta datang dari 26 negara termasuk Malaysia, Jepun, Filipina, Singapura, Indonesia, Australia, Itali, Russia, Sepanyol, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Larian antarabangsa itu turut termasuk atlet yang bertanding dalam Merrell Skyrunner® World Series, meningkatkan tahap pertandingan merentasi kategori Elit.

Pelepasan peserta disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin pada jam 6.30 pagi yang menyaksikan pelari elit dan berpengalaman mencuba kekuatan masing-masing.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Lelaki dan Wanita Elit serta Lelaki Veteran dengan pemenang masing-masing memenangi wang tunai dan hadiah lain.

Sementara itu, Oberbacher menyifatkan Claimbathon Gunung Kinabalu sebagai mencabar tetapi memberi pengalaman, khususnya pemandangan menarik di tanah tinggi.

“Landskapnya sungguh cantik, terutama di puncak di mana anda boleh melihat batu. Ia sangat sukar dan pendakian yang panjang mencapai 4,095.2 meter, namun ia adalah satu pengalaman yang baik,” katanya.

Juara Wanita Elit pula menyifatkan kemenangannya sebagai tidak diduga dan satu pencapaian yang mengharukannya.-Info X

Keputusan 3 teratas:
Lelaki Elit
1st – Alex Oberbacher, Italy, 3:20.54
2nd – Daniel Antonioli, Italy, 3:23.46
3rd – Shoma Otagiri, Japan, 3:29.54

Wanita Elit
1st – June Villaroel, Spain, 4:09.14
2nd – Svetlana Nurmukhametova, Russia, 4:18.45
3rd – Vanja Cnops, Belgium, 4:42.19

Lelaki Veteran
1st – Markov Evegenii, Russia, 3:29.11
2nd – Ivan Vlasenko, Russia, 3:51.02
3rd – Daved Simpat, Malaysia, 3:52.21